Tuesday, October 26, 2010

Economic Transformation Programme



Semalam Perdana Menteri melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) di PWTC. Meneliti dari apa yang dicatatkan di muka surat depan akhbar, transformasi ekonomi yang dimaksudkan adalah manifestasi dari konsep kitaran ekonomi yang berasaskan indeks pengeluaran (KNK dan KDNK). Jika sosialisme memandang ekonomi adalah sebahagian dari proses dialetika materialisme, maka ’keadilan sosial’ menjadi asas bagi membangun ekonomi mereka. Berbeza pula dengan kapitalisme yang diamalkan diseluruh penjuru dunia hari ini, pengeluaran adalah asas bagi mengukur kekuatan ekonomi mereka. Maka kita boleh lihat, bagi melakukan ’transformasi ekonomi’, sebagai permulaan 9 usaha sama antara pihak kerajaan dan swasta bagi menjana projek mega telah dimeterai yang setakat ini bernilai RM300.7 billion. Antaranya adalah di Kulim-Hi Tech Park, Mydin, perhotelan mewah, Schlumberger, Eastern Hemisphere Global Financil Service Hub dan KL International Financial District (KLIFD)

Secara konsep, apa yang dilakukan kerajaan adalah suatu yang baik untuk menjana ekonomi sesebuah Negara dari sudut pandang kapitalisme. Ia memang diperlukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi Malaysia. Malah, jika kita tiada gambaran jelas konsep ekonomi Islam turut akan bersetuju. Tetapi jika kita berbalik kepada asas aqidah dan memahami pandangan Islam dalam membangun ekonomi, nescaya kita dapati asas indeks pengeluaran yang digunapakai kapitalisme ini sama sekali bathil. Dalam Islam asas ekonomi adalah untuk memastikan bahawa segala keperluan hidup yang asas terpenuh dan keperluan berikutnya dapat diperoleh secara ma’ruf. Secara mudahnya, jika sosalisme memandang kepada keadilan sosial yang tidak masuk akal, kapitalisme menitik beratkan pengeluaran, Islam menjadikan pengagihan sebagai asas politik ekonomi. Politik ekonomi negara Islam adalah untuk memastikan segala keperluan asas umat seperti makan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan, jalanraya dipenuh secara mutlak dan keperluan lainnya dapat diperoleh secara ma’ruf sesuai dengan kemampuan. Kita boleh lihat, bahawa hukum-hukum fiqh berkenaan hak kepemilikan benar-benar untuk menjaga keberlangsungan perkara ini. Saya faham untuk memahami perkara ini dalam keadaan ia langsung tidak dilaksanakan dalam kehidupan hari adalah agak sukar. Malah, ramai cendekiawan Muslim hari ini yang cuba mengasimilisasikan mekanisme ekonomi kapitalisme dengan Islam. Mungkin mereka menyangka ia untuk kebaikan umat Islam, tetapi hakikatnya ia tidak lebih dari mengubah agama dan menjauhkan umat dari Islam yang murni.

Penulisan pagi hari ini juga bukanlah untuk mengupas lanjut perkara ini kerana ia tiada kapasiti tersebut. Walaubagaimana pun, saya suka mencadangkan para pembaca menelaah Kitab Sistem Ekonomi Islam dan Kitab Fiqh Amwal terbitan Hizbut Tahrir. Walaupun agak berat, ia mampu memberi gambaran bagaimana revolusi ekonomi dapat dilaksanakan dari sistem yang sematanya riba’ kepada apa yang diwahyukan Allah. Seterusnya bagi pembahasan fiqh ekonomi terdapat banyak kitab muktabar yang telah dikarang para fuqaha yang terpecaya.

Saturday, October 16, 2010

TUN M DAN 1 MALAYSIA


Saya baca entry terbaru Tun Dr Mahathir (TDM) di blognya. Jarang sebenarnya baca blog TDM.Cuma satu yang menarik diblog TDM ni, komen-komennya panjang belaka. Dari pandangan mereka, seperti kebanyakannya golongan terpelajar dan mereka yang memikirkan tentang masa hadapan Malaysia dan bangsa Melayu.

Human Development Seminar yang sepatutnya disampaikan TDM di Melbourne rupanya antaranya mengupas definisi 1Malaysia. Para pembaca boleh baca sendiri, pandangan TDM. Bagi mereka yang tiada kerangka berfikir yang jelas, pasti setidaknya cuba berfikir dalam kotak apa yang cuba disampaikan TDM. Beliau mengemukakan persepsi 1Malaysia ramai orang Melayu dan juga persepsi 1Malaysia masyarakat Cina dan India. Ia berbalik tentang kontrak sosial Melayu, Cina dan India. Jika kita terjebak ke dalam kerangka berfikir sedemikian, nescaya berserabutlah minda untuk mendapatkan hubungan harmoni antara 3 kaum. Datanglah pelbagai andaian dan harapan dirasakan susah untuk dijawab apatah lagi untuk merealisasikannya. Bagi para pemimpin dan pemikir negara, mungkin mereka merasakan telah berkorban mengerah seluruh kemampuan berfikir untuk mendapatkan ramuan terbaik bagi permasalahan koktrak ini. Apa tidaknya, mereka adalah orang-orang cerdik pandai yang mempunyai kelulusan tinggi baik dalam bidang politik, undang-undang, ekonomi dari universiti-universiti terkemuka. Masing-masing dengan kegeniusan cuba memberi buah pandangan bagi membina apa yang disebut bangsa Malaysia.

Tiba-tiba saya teringat pertemuan saya dengan seorang yang boleh dikira pembesar sebuah negeri di Malaysia. Melihat gelaran yang panjang sebelum namanya, dan jawatan-jawatan yang disandang oleh beliau di business cardnya, memang beliau seorang berpengaruh. Asalnya hanya perbincangan kerja, akhirnya merebak kepada pelbagai isu lain. Gaya bahasanya, sememangnya minda politiknya cenderung kepada UMNO tetapi dalam masa yang sama mengkritik UMNO. Pada pandangan beliau mereka yang cerdik pandai sukar mendapat tempat dalam UMNO, inilah yang menyebabkan ramai yang beralih ke PAS dan PKR. Satu point yang menarik, menurutnya pada tahun 60an semasa beliau menuntut di UM, dari 2000 pelajar pelbagai jurusan sains, hanya 11 orang Melayu. Dari situ, beliau membicarakan pelbagai permasalahan bangsa. Walaupun mengkritik dengan pedas, tetapi perjuangan masih acuan UMNO, tidak nampak jalan penyelesaian dan berserabut. Ini adalah lumrah jika kita berbicara pemimpin-pemimpin yang asas perjuangan Melayu. Asasnya adalah assobiyah dan ia bagi saya cukup berserabut.

Berbalik kepada apa yang dibawa TDM, jawapan bagi kita umat Islam sebenarnya tidaklah sesulit apa yang dicerna TDM. Permasalahan besar umat Islam kerana kita tiada entiti politik yang mampu menaungi umat Islam. Kalau pun TDM memikirnya, ia tidak lebih dari memperkasa OIC. Walhal, jika entiti politik global ini dapat diwujudkan (wajib diwujudkan dan sememangnya telah dinyatakan ia kembali oleh daith mutawatir), bukan sekadar bangsa Melayu, Cina dan India, malah seluruh umat manusia akan dapat disatukan dalam khilafah Islamiyah. Seluruh umat Islam layak hidup di dalam Khilafah dan sesiapa yang bukan beragama Islam turut layak hidup dalam Khilafah asalkan mereka sanggup patuh kepada undang-undang dan membayar jizyah. Hak mereka sama seperti warga yang beragama Islam kecuali mereka tidak boleh menyebarkan agama mereka dan menduduki jawatan pemerintahan seperti khalifah, muawwin, wali, amil, amirul jihad dan qadhi.Rasulullah bersabda yang maksudnya;
“Barangsiapa yang menzalimi orang bukan islam, atau mengurangkan haknya, atau membebankannya luar dari kemampuannya, atau mengambil daripadanya sesuatu tanpa jalan yang baik, maka aku akan menyoalnya pada hari akhirat kelak” (HR Abu Dawud)

Mereka mempunyai hak yang sama untuk masuk universiti, memegang jawatan pentadbiran, berniaga, memiliki rumah dan sebagainya. Jelas tidak timbul isu bumiputera, kontrak sosial dan sebagainya.

Andainya TDM memahami perkara ini dan mempunyai wawasan dan kerangka politik Islam yang jelas, nescaya akan ramai para pemikir yang belajar memahaminya. Jika tidak, selagi mereka berfikir dalam kerangka kapitalisme, selagi itulah mereka memikir sesuatu yang tak terjangkau dek akal dan segala idea yang terhasil sekadar membawa malapekata ke atas peradaban dunia.

Friday, October 15, 2010

BAJET ROSMAH: ANTARA NAJIB, NASARUDIN DAN TAN SENG GIAW


Bajet 2011 dibentang hari ini. Pada tahun lepas saya telah mengupas secara ringkas fiqh perbendaharaan Islam (Fiqh Amwal) yang berkaitan dengan sumber pendapatan dan perbelanjaan negara. http://jemaah-islam.blogspot.com/2009/10/bajet-2010-apakah-pandangan-islam.html

Najib menafikan ia adalah bajet pilihanraya. Tetapi YB Salahudin Ayub dari PAS, tetap mengulasnya sebagai bajet pilihanraya. Malah beliau mencabar kerajaan agar mempercepatkan pilihanraya. Ustaz Salahudin Mat Isa pula mengulas ada yang baik dan yang kurang setuju dengan bajet kali ini. Beliau memuji peruntukan yang diberikan kepada industri perbankan dan kewangan Islam. Manakala Tan Seng Giaw juga bersetuju dengan sebagian tetapi mengkritik kerana peruntukan yang kurang diberikan kepada SPRM.

Tidak ada seorang pun dari mereka yang memberi pandangan hukum Islam berkenaan bajet. Baik si Islam dan si kafir, pemikiran bajet mereka masih bersumber dari chancellor of Exchequer .

Monday, October 11, 2010

SURAT DARIPADA HIZBUT TAHRIR UZBEKISTAN


Bismillahirahmanirrahim
Saudara,

Assalamu 'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu

Saya dengan ini menulis kepada anda mengenai sebahagian dari layanan buruk yang dikenakan ke atas anggota-anggota kami oleh penguasa Uzbekistan berupa pendakwaan, pemenjaraan dan penyeksaan yang telah menyebabkan kematian ramai anggota kami. Layanan seperti ini bukanlah sahaja terhad kepada syabab (pemuda-pemuda) Hizbut Tahrir bahkan berlaku juga ke atas semua yang menyahut seruan Islam. Jumlah tahanan dari Hizbut Tahrir sahaja di dalam penjara Uzbekistan adalah sekitar 8000 orang meskipun Hizbut Tahrir tidak pernah mengambil jalan kekerasan dalam dakwahnya.

Penindasan oleh kerajaan ini bertambah buruk pada musim panas tahun ini. Pada awal musim panas ini semua pemimpin yang baru sahaja dilantik telah ditangkap, setelah penangkapan pemimpin terdahulu. Telah berlaku juga penangkapan ke atas sejumlah besar dari syabab kami yang aktif. Hal ini terjadi di ibukota Tashkent, Lembah Ferghana, Andijan dan di beberapa negeri lain di Uzbekistan.

Ramai syabab kami telah mula keluar negara untuk bekerja bagi menghindari penangkapan. Namun demikian, mata-mata pihak berkuasa sentiasa mengawasi dan memata-matai, walaupun ke atas mereka yang telah berhijrah ke luar negeri. Di bulan Ramadan, mata-mata penguasa datang untuk bertanya tentang siapa yang telah melakukan perjalanan, dan sekiranya mata-mata ini tidak menemukan mereka, keluarga para syabab ini ditahan dan disoal siasat untuk mengetahui ke manakah para syabab ini telah pergi. Mata-mata kerajaan ini juga mengancam untuk menahan keluarga para syabab sehinggalah anak-anak mereka ini kembali. Mereka diperlakukan dengan kejam dan ganas. Beberapa orang dari mereka bahkan pengsan dan yang lebih tua rebah ke lantai akibat keletihan.

Pihak penguasa juga mula menugaskan kakitangannya dari Jabatan Air dan Gas dan para anggota majlis mesyuarat tempatan, baik lelaki mahupun perempuan untuk memata-matai maklumat mengenai keluarga tahanan, kedudukan mereka, perbelanjaan mereka, tempat makan mereka, pakaian mereka dan bagaimana mereka hidup.



Bagi para tahanan yang telah selesai menjalani hukuman pula, pihak penguasa memeras ugut mereka untuk meninggalkan dakwah Hizbut Tahrir dan bekerja untuk pihak berkuasa dan memata-matai (pula) gerakan Islam tersebut. Sesiapa yang menolak, mereka akan katakan kepadanya, "Anda masih belum menyelesaikan hukuman anda" dan mereka meningkatkan hukuman ke atas mereka dengan menambahkan tempoh penjara sebanyak tiga tahun lagi. Ramai dari tahanan kami yang menghabiskan masa bertahun-tahun dari tambahan tempoh ini dan mereka tetap tidak dibebaskan, bahkan tempoh penahanan terus berlanjutan.

Inilah pihak berkuasa di Uzbekistan. Kami tidak akan tunduk pada tekanannya dan akan terus berusaha dengan cara yang benar untuk mengubah keadaan ini. Kami akan bersabar dengan pertolongan Allah dan pertolongan dari saudara-saudara kami di negara ini dan dari negara kaum Muslimin lainnya. Kami juga akan bersabar sehingga Allah menetapkan keputusanNya dan sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.


Saudaramu,
Pemimpin Hizbut Tahrir Uzbekistan
24 Ramadan 1431H bersamaan 04/09/2010M

Wednesday, October 6, 2010

AIR MILIK KITA

Kali ini saya menulis dari Aloq Staq. Pekena ikan bakaq dah, nasi kandaq pun dah. Ntah kenapa automatik lidah saya dah telo Kedah, tapi macam orang Siam nooo. Tiba-tiba terlintas di kepala isu kenaikan tarif air di Kedah sebanyak 27%. Saya bukan penyokong kerajaan yang akan bersikap oportunis dengan mana-mana tindakan kurang popular parti lawan, juga bukan penyokong PR yang berbasa-basi sesama sendiri demi cita-cita Putrajaya. Pendirian kita sebagai orang Islam adalah hukum Islam. Bagi hal ini adalah hukum pengelolaan air dalam Islam.

Dalam aspek kepemilikan, air dikategori sebagai pemilikan umum (milkiah ammah). Dalam istilah fiqah, apa-apa bahan yangh bersifat ma'ul idd (air yang mengalir), dikategorikan sebagai kepemilikan umum. Bermakna setiap umat manusia boleh menggunakan air secara bersama-sama dan tidak boleh menghalang orang lain dari memperoleh air. Baik air yang bersumber dari hujan, sungai, tasik, mata air dan laut. Dalam konteks hari ini, bekalan air yang disalurkan ke rumah adalah bekalan air yang terawat. Secara hukum syara', pemerintah adalah pihak yang bertanggungjawab mengelolakan penyaluran air ini tanpa menghilang sifat kepemilikan bersama air. Menyerahkan konsesi air kepada mana pihak atau syarikat seperti Syarikat Air Johor, SYABAS atau SADA adalah satu bentuk penyerahan hak milik umum yang melampau batas syara'.

Saya dapati setiap kali isu kenaikan tarif air atau pun harga minyak, yang digembar gemburkan adalah tentang kenaikan harga tersebut. Walhal sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul, sewajibnya kita melihat hukum air (dan bahan hasil bumi lain) melalui aspek sebegini iaitu wajib dikelolakan sebagai milkiah ammah. Penyerahan konsesi kepada mana-mana syarikat persedirian atau GLC mahupun SLC adalah perompakan terhadap pemilikan yang telah diberikan Allah kepada ummat manusia.

Jadi sekali lagi saya tegaskan, isunya di sini bukan soal kenaikan harga semata. Tetapi apakah Kedah sebagai negeri yang diperintah oleh parti Islam telah mengelolakan air dah sumber alam lain sebagai milkiah amah sebagai mana Islam? Atau sekadar meneruskan sistem yang ditinggalkan pemerintah terdahulu. Melihat dengan neraca Islam.